Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh En Thani bin Syaaban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar Islam SMRA (PERWIRA). Keahliannya seramai 20 orang sahaja iaitu terdiri daripada pelajar tingkatan 1 dan 2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU, BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat patriotik, berketerampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan NEGARA ke arah Wawasan 2020.

 

Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti yang dijalankan berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN (AD DEEN). Mulai tahun 1989 beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah menubuhkan KPIM. Pada 1993 sebanyak 53 buah Sekolah Menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha menubuhkan KPIM secara rasmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah dimulakan pada 10  Ogos 1993. Satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid bin Wan Mohd Nordin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Di dalam pertemuan ini tesis KPIM telah dibentangkan. Hasilnya sebuah jawatankuasa kecil dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet. Jawatankuasa ini telah mencadangkan nama KPIM ditukarkan kepada Kadet Putera-Puteri Islam. Walau bagaimana pun nama pasukan ini ditukar kepada Kadet Remaja Sekolah.

 

Sementara itu taklimat dan pendedahan kepada Pengarah-Pengarah Bahagian Pendidikan  yang diadakan pada bulan oktober 1993 dan dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Wan Mohd Nordin telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada Kadet Remaja Sekolah (KRS) yang bertujuan agar keahliannya terbuka kepada semua kaum sama ada pelajar lelaki atau perempuan. Upacara Pelancaran KADET REMAJA SEKOLAH Peringkat Kebangsaan telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Najib Tun Haji Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur.

 

YouTube Preview Image