Maklumat am
-
[26/02/09 Khamis (Kosmo)
Pengumuman melegakan
KUALA LUMPUR – Semua bank komersial akan mengambil langkah segera mengurangkan ansuran pembayaran pinjaman bulanan bagi kemudahan yang membabitkan kadar faedah yang tertakluk kepada kadar pinjaman asas (BLR).
Tindakan itu diambil untuk membantu peminjam dalam persekitaran semasa yang mencabar, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) menerusi satu kenyataan semalam.
Langkah itu dibuat susulan pengumuman Bank Negara Malaysia kelmarin yang menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 peratus mata asas kepada 2.00 peratus daripada 2.50 peratus.
BLR baru akan diumumkan oleh bank-bank secara individu dalam tempoh beberapa hari, seperti pengurangan OPR pada November 2008 dan Januari 2009, kata ABM.
Pengurangan ansuran pembayaran pinjaman bulanan bertujuan memberi dorongan tambahan bagi mengurangkan BLR bank masing-masing selari dengan pengurangan OPR, katanya.
Dengan pengurangan BLR, bank mempunyai pilihan sama ada mengekalkan tempoh pinjaman dan mengurangkan ansuran pembayaran pinjaman bulanan atau memendekkan tempoh pinjaman dan dalam masa yang sama mengekalkan jumlah bayaran ansuran pinjaman bulanan pelanggan, kata ABM.
26/02/09 Khamis (Kosmo)
58,000 dijangka hilang kerja
KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan seramai 40,000 hingga 58,000 orang akan diberhentikan kerja tahun ini ekoran krisis ekonomi global.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, angka sebenar bergantung kepada perkembangan ekonomi global dan sejauh mana kesan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua kelak.
“Krisis ekonomi global telah memberi impak besar terutamanya kepada sektor pembuatan apabila permintaan bagi banyak produk pasaran eksport telah menurun.
“Ini telah menyebabkan syarikat pengeluar terpaksa mengurangkan pekerja melalui tindakan pemberhentian tetap, sementara dan skim pemberhentian sukarela (VSS),’’ kata Noraini pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.
Bagi memastikan peluang kerja menyebelahi rakyat tempatan, kementeriannya telah memutuskan agar pengambilan pekerja asing dibekukan bagi sektor pembuatan terutama dalam industri elektrik dan elektronik, tekstil, pakaian serta sektor perkhidmatan.